Rabu, 21 Januari 2009

Muhasabah Diri

Salam…

Pada ruangan kali ini, saya menyeru kepada rakan-rakan sekalian..marilah kita sama-sama renung sempurnakah kita sebagai hamba Allah SWT di muka bumi ini? Pada ruangan yang lalu, kita telah bincangkan tentang azam tahun baru, samada mahu berjaya untuk mendapat sesuatu yang dihajati atau mahu berusaha untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih cemerlang dan gemilang daripada tahun-tahun yang lalu. Semoga kita dapat melipatgandakan lagi kasih sayang kepada diri-sendiri, kepada ahli keluarga, kepada rakan sahabat handai, dan kepada semua makhluk di sekeliling kita.

Teman sekalian,
Untuk seketika marilah kita duduk, lapangkan fikiran yang selama ini sibuk dengan kerja-kerja duniawi yang tiada berkesudahan, dan tumpukan sepenuh perhatian kepada diri kita. Bagaimanakah prestasi kita kepada Allah SWT? Sudahkah kita melakukan ibadah dan amalan kita dengan sebaik-baiknya?
Ya, kita bercerita tentang sempurnakah wuduk kita, sempurnakah syarat sah dalam solat kita lima kali sehari semalam? Soal solat adalah soal utama dalam hidup kita di dua dunia. Solat bukan sahaja tuntutan agama kita yang menjadi tanggungjawab setiap muslim. Solat juga adalah tiang agama yang mana sabda Rasulullah perkara pertama yang disoal di akhirat kelak ialah solat kita. Solat yang didirikan tanpa memenuhi syarat sahnya akan menjadi sia-sia. Solat itu akan ditolak dan kita hanya mendapat kepenatan melakukan.

Bagi remaja seperti kita semua, tuntutan kepada dunia seperti dilebihkan seperti tergesa-gesa atau mengejar masa untuk ke kelas dan sebagainya. Sekali-sekala tanpa sedar atau sedar, kita sering kali melakukan solat dengan begitu cepat, begitu pantas, begitu ringkas. Rukuk dilakukan dengan tanpa tomakninah, sujud juga begitu ringkas bagai tidak puas dahi mencecah bumi Allah SWT. Ia dilakukan supaya tidak tercicir untuk melakukan pekerjaan seharian, maka kewajaran tomakninah tertolak ketepi.
Disini saya mahu menyingkapkan penyataan atau pendapat daripada kak Anis yang dipetik daripada majalah ANIS yang menghubungkan tomakninah dengan peringkat khusyuk dalam solat. Katanya, setakat menghafal bacaan dalam solat dan setakat melakukan pergerakan dalam solat bukanlah perkara rumit. Kebanyaka kita melakukan secara mekanikal seperti robot- mulut membaca dan anggota badan melakukan pergerakan. Tetapi hati kita dimana?

Teman sekalian...
Dengan tomakninah kita mengawal hati kita supaya fokus dan merendahkan diri di hadapan Allah kerana dalam solat kita bercakap dengan Allah. Dalam tomakninah, kita menguruskan hati kita kepada kesedaran bahawa kita adalah hamba Allah SWT yang kerdil di muka bumi ini yang berhadapan dengan TUHAN nya. Dengan ini akan timbullah perasaan rendah diri, rasa syukur kerana dilahirkan dalam agama Allah dan rasa ihsan dalam diri kita. Akan terbuang terus rasa iri, rasa megah dan rasa takbur dengan apa yang dimiliki didunia ini. Jika didalam solat, kita merasakan kekerdilan diri dihapan-Nya, maka diluar solat kita akan berterusan mengingati diri yang serba kerdil ini supaya tidak bermegah dengan apa yang dimiliki didunia ini iaitu dengan harta dan ilmu yang datngnya daripada Allah jua. Kita hanya dipinjamkan harta dan ilmu itu kerana harta dan ilmu itu datangnya daripada Allah. Harta dan ilmu itu adalah ujian daripada Allah semata-mata. Apakah yang kita lakukan dengan pinjaman harta dan ilmu itu? Adakah harta dan ilmu itu semata-mata membesarkan diri dan bermegah serta menyombongkan diri?
Marilah kita perbaiki diri kita dahulu dengan memperbetulkan rukun dan segala aspek yang bersabit dengan amalan solat. Seperti yang kita tahu, solat itu adalah tiang agama. Tanpa solat yang sempurna, segala amalan lain adalah sia-sia. Alangkah ruginya segala sedekah, segala amal jariah segala amalan baik jika solat kita tidak sempurna. Marilah kita periksa prestasi solat kita. Sudahkah terisi amalan solat kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan